Tuesday 12 February 2013

MiStErI aNaK KeMbAr...#8

Melihatkan Amna, Ezi terus menerkam ke arah Amna. "AMNA!!", Ezi menjerit sambit mencapai tubuh Amna yang berada di muka tingkap dan kelihatannya Amna ingin terjun ke bawah. Nasib baik hembusan angin malam mengejutkan Ezi dan sempat menghalang Amna daripada terjun.

Tempat : Rumah Ezi & Amna
Masa : 6.20 pagi.

   "Ezi kenapa duduk lagi di situ? Ezi tak masuk kerja hari ini?", soal Amna yang kehairanan melihatkan Ezi masih lagi bersila di tikar sejadah dan tidak bersiap ke pejabat seperti kebiasaannya. "Hari ini tidak ada siapa-siapa yang akan keluar bekerja selagi Amna tak cerita apa yang jadi semalam sampai Amna nak terjun dari tingkap bilik", tegas Ezi memberi pernyataan dan sebenarnya lebih kepada meminta penjelasan daripada Amna. "Ezziii...Amna minta maaf..Amna pun tidak sedar apa yang sebenarnya berlaku kepada Amna", balas Amna perlahan. "Sekarang Ezi nak tahu apa yang Amna nampak dalam mimpi? Ceritakan semua!", kini nada suara Ezi lebih tegas dan ini kali pertama dia bertindak sebegitu terhadap Amna. "Kalau Amna cerita... Ezi akan cakap Amna yang bukan-bukan", Amna cuba mengelak. "Ezi tak akan cakap bukan-bukan.. Sebab Ezi suami Amna. Kita juga kawan kan", Ezi cuba memujuk. "Amna mimpi..." (Ana menceritakan semua yang dimimpi dan dialami kepada Ezi). Ezi memberitahu apa yang berlaku kepada ayahnya dan kini barulah Pak Irsyad tahu kenapa dia dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena saat Ezi memaklumkan yang mereka ingin mengambil anak angkat. Pesanannya kepada Ezi agar Ezi bersabar dan sentiasa bersama-sama Amna walau apa jua yang berlaku.

    Setiap hari yang berlalu seolah-olah merangkak menanti selesainya perhitungan 24 jam yang diperuntukkan Tuhan. Hari-hari indah Amna seolah-olah lenyap dimamah igauan gelap lagi berdarah. Siangnya diselami dengan bisikan-bisikan dan tangisan yang meruntun jiwa. Malamnya ditelan dengan mimpi-mimpi yang mencincang perasaannya. Celik matanya dari mimpi dimulakan dengan tangisan ketakutan. Amannya Amna hanya di tikar tempat dia tadahkan dahi sujud kepada yang Esa. Tenangnya Amna sewaktu Ezi merangkulnya melenyapkan segala keresahan. Pada Ezi pula, tidak pernah ada hari yang dilalui melainkan hatinya dirobek melihatkan keadaan Amna yang tidak seperti dahulu lagi. Beberapa kali Ezi membawa Amna berjumpa dengan pakar psikologi untuk mendapatkan rawatan dan nasihat. Bukan sahaja Ezi tetapi Maira dan teman-temannya yang lain turut berikhtiar untuk membantu Amna. Membawa Amna kepada rawatan tradisional, rawatan Islam, ikuti Usrah dengan lebih kerap dan banyak lagi yang mereka fikir boleh membantu Amna. Namun, kerja Allah siapa yang dapat menghalang? Seandainya itu kehendak Tuhan itulah ujian tanda kasih Ilahi dan apabila Dia memberi hamba akan terima walau berjuta tangan yang menghalang. Jika Allah menghalang walau sejuta tangan yang menghulur tidak akan sampai kepada hambaNya.

    Kehadiran Amna di Masjid Kayu berhampiran rumah di kampungnya seolah-olah petunjuk yang Allah hadirkan untuk membantu Amna bertatih mengharungi ranjau yang ditempuhi. Di sini Amna bertemu dengan seorang yang amat dikenalinya dan sangat dia hormati..Ustaz Imaduddin al-Zanki. "Apa yang berlaku Amna sehingga awak katakan sinar gembira hidup awak sudah hilang?" Ustaz Zanki menyoal setelah Amna memberitahu keadaannya dalam kekusutan. "Ustaz, sejak sebulan yang lalu saya sentiasa mimpi perkara yang bukan-bukan. Adakalanya sehingga saya mengigau dan hampir terjun dari tingkat atas rumah saya. Jika saya berjalan seorang diri, seolah-olah saya sentiasa ditemani dan ada yang berbisik kepada saya. Saya takut ustaz", jelas Amna kepada Ustaz. "Astaghfirullah. Amna hebat cubaan ini. Boleh saya tahu apa yang awak nampak dalam mimpi dan bisikan apa yang awak dengar?", ustaz menyoal lagi mendapatkan kepastian.

       "Pada awalnya yang saya nampak kabur dan tidak teratur. Semakin lama semakin jelas dan seolah-olah sebuah cerita. Saya lihat ada pasangan yang bahagia bersama anak kembar di sebuah rumah besar. Setelah itu, pasangan itu bergaduh dan bayi kembar itu menangis. Kemudian, saya melihat seperti ada orang menggali tanah dalam hutan. Saya ingat tangan yang memegang kedua bayi itu. Akhir sekali, di hadapan saya terbentang sebuah tasik. Bisikan yang saya dengar, jika bukan tawa dan tangisan bayi, saya dengar suara orang meminta tolong", cerita Amna kepada Ustaz. "Mungkin ada yang memerlukan bantuan Amna. Amna nampak atau cam muka orang dalam mimpi tu?", soal Ustaz lagi kepada Amna. "Saya tak nampak sebab kabur. Tapi ustaz apa yang saya alami buat jiwa saya sakit. Hati saya sayu dan saya juga ketakutan. Kalau ya ada yang perlukan bantuan kenapa saya ustaz? Saya seksa sehingga ada yang anggap saya dah gila", Amna meluahkan perasaannya kepada ustaz. "Setiap yang berlaku ada hikmahnya Amna. Bersabarlah, innallaha maa' sobirin. In syaa Allah akan saya usahakan yang saya termampu untuk membantu Amna. Jika Amna mendapat sebarang petunjuk baru tolong maklumkan kepada saya", pinta Ustaz Zanki. "Ingat Amna, kebahagiaan yang hakiki hanyalah disisi Allah dan dunia ini hanya sementara yang dihiasi dengan tipu daya dan permainan semata. La tahzan. Innallaha maa'na", pesan ustaz Imaduddin Al- Zanki sebagai penutup bicara mereka.

Tempat : Dalam kereta Ezi.
Masa : 8 malam.

   " Kita nak ke mana ni Ezi?", soal Amna kepada Ezi. Mungkin Amna hairan apabila Ezi memintanya berhias diri malam itu. "Sebenarnya kita nak pergi ke majlis makan-makan yang Zaki buat kat villa dia", sengaja Ezi membawa Amna. Dia tidak mahu Amna bersendirian dan termenung sahaja. "Kayanya Zaki ada villa sendiri", saja Amna menyambung cakap. Dia tidak mahu merosakkan malam Ezi dengan kediamannya. "Hurmm... Dia kata villa tu ada orang bagi padanya. Rezeki diala tu.. Rezeki..", belum sempat Ezi menghabiskan ayatnya.."Rezeki kita juga dapat makan free malam ni kan...", laju Amna memotong cakap Ezi. Kedua-duanya ketawa dan Ezi sangat gembira kerana lama tidak dia lihat wajah Amna yang senyum dan tertawa seperti tadi.

  Sesampainya mereka di villa, Amna terpaku dan dadanya sakit. Jantungnya seperti direnggut dan direntap apabila melihatkan muka hadapan villa yang sangat dia kenali...

Bersambung...

Hadith yang diriwayatkan oleh Anas:

“Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, sesungguhnya Allah berfirman: “Jika Aku menguji hamba-Ku dengan dua benda yang paling dia sayangi, lalu dia bersabar menghadapinya, maka Aku akan menggantikan keduanya dengan syurga. Yang dimaksudkan dua benda itu adalah kedua matanya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Kerana cinta itu milik Allah...


 P/S: Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih kepada pembaca kerana masih sudi mengikuti siri Misteri Anak Kembar. Adakah villa yang dimiliki Zaki adalah villa yang dilihat Amna dalam mimpinya? Apa kaitannya Zaki dengan mimpi Amna? Teruskan membaca Misteri Anak Kembar...selesai baca tolong komen untuk penambahbaikan cerita.

1 comment: